Jelaslah daripada apa yang telah diperkatakan itu bahawa Islam memandu manusia dengan mengambil langkah-langkah yang luas menuju ke suatu keadaan hidup yang dihiasi dengan suatu sistem susila yang luhur dan sopan santun serta budipekerti yang terpuji. Ke arah matlamat tersebut ia mengimbangkan setiap peringkat yang dilaluinya dalam lingkungan risalah atau tugasnya yang utama, dn sebaliknya memperhitungkan penyelewangan dari lingkungan dan batas-batas itu sebagai terkeluar dari risalahnya yang sejati. Akhlak atau moral itu bukan merupakan barang-barang mewah yang boleh diketepikan malahan adalah bahan-bahan yang penting yang tidak dapat tidak mesti ada dalam risalah Islam yang mana adalah dianggap sebagai akar-akar yang meneguhkan pokok. Islam telah memperhitungkan budipekerti yang mulia itu satu persatunya dan menegaskan penganut-penganutnya sepaya berpegang teguh dan beramal dengannya. Kalau kita berusaha menghimpunkan segala sabda-sabda junjungan kita saw mengenai akhlak dan budipekerti yang mulia nescaya kita akan menghasilkan satu volume tebal yang tidak dapat seumpamanya, dan yang pernah dianjurkan oleh mana-mana jaguh atau pemimpin dalam sejarah manusia. Sebelum kita membicarakan dengan lebih lanjut mengenai butir-butir budipekerti ini sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis junjungan Rasulullah lebih dahulu kita bawakan dahulu beberapa sabdanya yang menyeru supaya umat Islam menghayati segala sifat perangai dan budipekerti yang mulia. Diriwayatkan daripada Usamah bin Syurai katanya yang bermaksud: Sedang kami duduk di sisi baginda Rasulullah saw diam senyap seolah-olahnya ada burung yang bertenggek di atas kepala kami, tidak seorang pun yang berkata sesuatu, tiba-tiba beberapa orang leleki mengadap baginda lalu bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah antara hamba-hamba Allah yang dikasihi olah Allah ?" Jawab Rasulullah, "Mereka itu adalah yang paling baik akhlaknya". Dalam suatu riwayat yang lain, "Apakah sebaik-baik benda yang diberi kepada manusia?" Jawabnya, "Budipekerti yang baik". Sabda junjungan Rasulullah saw yang bermaksud: " Bahawa gerak-geri dan kelakuan yang tidak senonoh kedua-duanya bukan sekali-kali dari agama Islam. Sebaik-baik orang Islam itu ialah yang paling baik tingkahlakunya". Suatu hari junjungan Rasulullah telah ditanya, "Orang mukmin manakah yang lebih lengkap imannya?". Jawab baginda, "Yang paling baik akhlaknya" Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr yang bermaksud: Saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda, "Sukakah kamu kalau kuberitahu siapa antara kamu yang aku paling kasihi dan paling hampir padaku pada hari kiamat?". Baginda mengulang soalan itu dua atau tiga kali lalu sahabat-sahabat yang hadir menjawab, "Ya, wahai Rasulullah". Lalu Rasulullah bersabda, "Ialah orang yang paling baik akhlak dan tingkahlakunya". Rasulullah bersabda lagi yang bererti, "Tidak ada suatu yang lebih berat dalam timbangan neraca seorang mukmin di hari akhirat selain dari budipekerti yang baik. Tuhan benci orang yang kotor mulut lidahnya. Orang yang berkelakuan baik dan mulia adalah hampir kedudukannya dengan darjat orang yang sembahyang dan puasa". Perkataan seperti ini kalau terbit dari lidah orang ahli falsafah yang berusaha memperbaiki akhlak manusia semata-mata, mungkin tidak menghairankan, tetapi apa yang mengkagumkan ialah terbitnya dari seorang pengasas sebuah agama yang agung. Menurut kebiasaan, agama-agama hanya menumpukan usahanya dalam hal-ehwal ibadat semata-mata. Nabi Muhamad saw menganjurkan berbagai-bagai perkara ibadat dan telah menegakkan sebuah negara yang bertunjangkan perjuangan yang lanjut dengan menentang musuh-musuh yang banyak. Maka kalau seorang sepertinya, sedangkan lapangan agamanya lebih luas dengan berbagai aneka cabang aktiviti yang terluang kepada pengikutnya, dengan tegas berkata bahawa seberat-berat benda dalam timbangan neraca mereka ialah akhlak yang baik dan mulia, maka yang demikian adalah membuktikan di mana letaknya darjat akhlak dan budipekerti di sisi agama Islam, suatu hal yang jelas tidak tersembunyi lagi. Sebenarnya kalau agama itu merupakan tingkahlaku dan budipekerti yang baik sesama manusia maka hubungan manusia dengan Tuhannya pun begitu juga. Kedua-dua perkara itu kembali kepada hakikat yang satu. Ada agama-agama yang menyeru orang ramai dengan berkata siapa-siapa yang menganutnya maka segala dosanya akan terhapus dan dengan melakukan sesuatu ibadat yang tertentu segala kesalahannya akan diampunkan. Tetapi Islam tidak berkata selain dari menjadikan akidah yang dianutinya itu sebagai pangsi atau pusat segala amalan kebajikan dan penunaian kewajipan berkisar di samping segala amalan dan ketaatan akan jadi air pembasuh kejahatan sambil melengkapkan diri untuk mencapai kesempurnaan yang diidami yang bererti bahawa keburukan dan kejahatan itu tidak terhapus melainkan dengan kerja-kerja kebajikan yang membawa manusia kepada kedudukan dan darjat yang lebih tinggi dan lebih mulia........ Baginda Rasulullah bersungguh-sungguh menekankan prinsip-perinsip yang adil ini agar umatnya memahaminya betul-betul. Dengan sebab itu akhlak lebih tinggi dari nilai upacara-upacara yang sangat dipermulia dan diagung-agungkan oleh setengah-setengah agama lain. Dari Anas ra bahawa Rasulullah telah bersabda yang bererti: "Bahawa seseorang hamba itu tetap akan sampai ke darjat yang tinggi di hari akhirat dengan sebab budipekertinya yang baik walaupun ibadatnya kurang dan akan menjunam ke peringkat yang bawah dari api neraka jahanam dengan sebab buruk akhlaknya". Dari Aisyah ra katanya, aku telah mendengar Rasulullah bersabda, "Seorang mukmin yang berakhlak baik itu sesungguhnya akan mencapai darjat orang yang bersembahyang dan puasa". Dalam satu riwayat lain sabdanya, "Bahawa orang mukmin akan dapat mencapai darjat-darjat orang yang sembahyang di malam hari dan puasa di siang hari dengan sebab baik akhlak dan tingkahlakunya". Daripada Ibn Omar, katanya, aku telah mendengar Rasulullah bersabda yang bererti: "Bahawa seorang muslim yang kurang ibadatnya akan dapat mencapai darjat orang yang berpuasa dan meneliti ayat-ayat Allah dengan sebab baik akhlaknya dan mulia budipekertinya". Diriwayatkan juga oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Kemuliaan seseorang itu ialah agamanya, maruahnya ialah akalnya dan ketinggian darjatnya ialah akhlaknya". Abu Zar ra meriwayatkan hadis Rasulullah yang bererti: "Berbahagialah orang yang berhati jujur dengan keimanan, dan menjadikan hatinya bersih (dari sifat nifaq jahat sangka-pent), lidahnya bertuturkata perkara yang benar, dirinya tenang dan akhlaknya mulia" Untuk membentuk akhlak yang mulia dalam satu-satu masyarakat tidak mencukupi dengan teori-teori atau suruhan dan larangan semata-mata. Tidaklah cukup dengan hanya guru berkata kepada muridnya, buat begitu jangan buat begini. Peradapan yang berkesan berhajat kepada pendidikan yang panjang masanya dan pengasuhan yang terus menerus. Pendidikan yang baik tidak akan berhasil jika tidak dituruti dengan contoh tauladan yang baik. Orang yang jahat atau buruk kelakuannya tidak meninggalkan kesan yang baik kepada orang yang di sekelilingnya. Kesan yang baik itu adalah diharapkan dari orang yang disegani peribadinya, yang dikagumi adap perangainya dan terpesona hati orang melihat ketinggian hemah dan cita-citanya demi kebaikan orang lain. Malahan orang yang menjadi tauladan diikuti, mustahak mempunyai sifat-sifat kelebihan yang istimewa untuk pengikut-pengikutnya (murid-muridnya) memetik sebahagian dari kelebihannya itu. Kedudukan Rasulullah antara para sahabatnya adalah merupakan contoh atau model yang ideal bagi setiap sifat dan budipekerti mulia yang dianjurkan oleh baginda. Baginda menanam benih-benih itu ke dalam jiwa para sahabat-sahabatnya dengan contoh tauladan yang dilakukan oleh baginda secara amali sebelum mananamnya malalui nasihat dan tuturkata. Daripada Abdullah bin Amr katanya, bahawa Rasulullah saw tidak sekali-kali bertuturkata dengan perkataan-perkataan yang kotor dan baginda selalu berkata, "Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik akhlaknya". Daripada Anas katanya, aku berkhidmat kepada Rasulullah selama 10 tahun. Demi Allah tak pernah baginda berkata "Uff" kepadaku dan tidak pernah baginda berkata kepadaku mengapa engkau begitu? Atau kenapa engkau tak buat begini? Daripada Anas juga katanya, "Jika seorang lalaki yang mengadap baginda terus bersalam dengannya dan tidak ia menarik tangannya sebelum orang itu menarik tangannya dahulu dan tidak berpaling mukanya daripada orang itu sebelum ia dahulu berpaling daripadanya dan tidak pernah dilihat ia menghulurkan dua lututnya lebih dari lutut orang yang duduk bersamanya ertinya ia sentiasa berjaga diri supaya tidak kelihatan sombong........ Daripada Aisyah katanya yang bererti, "Rasulullah bila diberi pilihan antara dua perkara, baginda tetap memilih yang senang selagi perkara itu bukan pekara dosa. Kalau perkara itu dosa baginda lebih menjauhinya daripada sesiapa jua. Tidak pernah baginda menuntut bela untuk dirinya sendiri dan tidak pernah baginda memukul perempuan atau khadam dengan tangannya kecuali waktu berjihat pada jalan Allah. Diriwayatkan daripada Anas ra yang maksudnya, suatu masa aku sedang berjalan mengiringi Rasulullah yang memakai sehelai baju yang diperbuat daripada kain yang kasar, tiba-tiba datang seorang Badwi lalu menarik baju baginda dengan kuat hingga aku lihat kulit tengkuk Rasulullah berbekas kemerah-merahan disebabkan oleh kuat tarikan yang dilakukan oleh si Badwi itu. Badwi itu berkata kepada baginda, "Hai Muhammad, perintahkan supaya diberikan kepadaku harta Allah yang ada padamu itu". Baginda hanya tersenyum memandang kepada si Badwi itu lalu baginda memerintah supaya permintaan Badwi itu ditunaikan. Daripada Aisyah ra katanya Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: "Sifat Tuhan mengasihi dan berlemah-lembut dan Ia sukakan sifat itu. Dengan sifat belas kasihan Tuhan kurniakan penganugerahan-penganugerahan yang tidak diberikan kerana kebengisan atau sesuatu sifat yang lain (selain dari lemah-lemah dan kemesraan)" Dalam suatu riwayat yang lain: " Sifat lemah-lembut itu bila berada pada sesuatu perkara nescaya ia mencantikkannya dan bila ditarikkan daripadanya nescaya bertukar menjadi hodoh" Daripada Jarir katanya, junjungan Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah swt menganugerahkan dengan sebab sifat lemah-lembut sesuatu yang tidak diberi dengan sebab sifat kekasaran. Apabila ia kasihi seseorang nescaya diberikan kepadanya sifat lemah-lembut. Mana-mana rumah (keluarga) yang tidak terdapat sifat lemah-lembut (antara ahli-ahlinya) nescaya kesemua ahli rumah itu tidak mendapat kebajikan". Suatu masa Saidatina Aisyah ra telah ditanya apakah yang dilakukan oleh Rasulullah semasa berada dirumahnya? Jawab Aisyah, "Baginda menolong kerja-kerja ahlinya dan bila masuk waktu sembahyang baginda terus mengambil wuduk kemudian keluar ke masjid". Daripada Abdullah bin Al-Harith katanya yang bermaksud, " Aku tidak pernah lihat seorang yang banyak tersenyum seperti baginda Rasulullah" Daripada Anas katanya yang bermaksud, "Junjungan Rasulullah adalah sebaik-baik manusia pada tingkahlakunya. Aku mempunyai seorang adik kecil namanya Abu Umair. Ia mempunyai seekor burung yang sedang sakit diberi nama Nughair. Rasulullah selalu menegur adikku dan kerkata dengan lemah lembut, "Apa khabar Nughair?" Amatlah nyata antara sifat-sifat baginda Rasulullah ialah sifat murah hatinya, tidak pernah bakhilkan dengan sesuatu pun, berani tak pernak mundur dari sesuatu yang benar, adil tak pernah ia bersikap berat sebelah pada sebarang hukumannya dan bersifat benar dan jujur dalam setiap tindakannya. Allah swt telah memerintah umat Islam supaya mencontohi segala sifat perangai dan budipekertinya itu dalam firmannya yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam perjalanan hidup Rasulullah ada panduan yang baik untuk kamu mencontohinya iaitu bagi siapa yang berharap menemui Allah dan hari akhirat serta banyak mengingati Allah". Qadi I'adh telah berkata, junjungan Rasulullah adalah sebaik-baik manusia, amat pemurah, amat berani. Pada suatu malam penduduk-penduduk kota Madinah telah terkejut dari tidur mereka oleh satu bunyi yang kuat. Sesetengah dari mereka terus bangkit menuju ke arah bunyi itu. Mereka menjumpai Rasulullah telah mendahului mereka dan sedang dalam perjalanan pulang menunggang kuda kepunyaan Abi Talhah dan sebilah pedang tersandung di bahunya seraya baginda bersabda, "Kamu semua berawas!" Sayidina Ali ada menyatakan yang bermaksud, bahawa dalam masa peperangan bila keadaan sampai ke kemuncaknya kita berselindung di sebalik Rasulullah. Kami dapati baginda orang yang hampir sekali dengan musuh. Daripada Jabir bin Abdullah ra katanya "Rasulullah tidak pernah menjawab tidak bila diminta atau ditanya". Khadijah pernah memuji (suaminya) Rasulullah dengan berkata, "Tuan hamba seorang yang suka memikul beban yang berat-berat, memberikan kepada orang yang tidak berada, dan menolong menegakkan kebenaran bila berlaku kerumitan". Suatu masa dibawa orang kepada baginda 70,000 dirham lalu diletakkan di atas seheki tikar. Terus baginda membahagi-bahagikan wang itu tanpa menolak sesiapa yang meminta sehingga habis wang itu kesemuanya. Pada suatu hari seorang lelaki telah datang meminta sesuatu daripada baginda, jawab baginda, " Sekarang aku tak punyai suatu apa pun tapi bolehlah kau berhutang dahulu. Aku akan membayarnya nanti". Ujar Omar, "Tuhan tidak memberatkan junjungan sampai begitu sekali". Rasulullah tak suka mendengar teguran Omar itu. Seorang kaum Ansar berdatang sembah, "Wahai Rasulullah, belanjakanlah dan jangan takut bahawa Tuhan mengerutkan pemberiannya". Lalu Rasulullah kelihatan tersenyum sambil bersabda, "Begitulah aku diperintah". Rasulullah sentiasa beramah masra dengan sahabat-sahabatnya dan baginda tidak mek=lakukan sesuatu yang menyebabkan mereka menjauhi diri daripadanya. Baginda memuliakan ketua satu-satu kaum dan memberinya tauliah (kuasa) menguruskan hal-ehwal mereka. Sifatnya sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga terhadap tindak-tanduk orang tanpa melahirkan sesuatu tanda di wajahnya atau pada tingkahlakunya. Selalu baginda bertanya hal ehwal sahabat-sahabatnya jika ada yang tidak kelihatan dalam majlis, dan baginda memberi kepada tiap-tiap seorang daripada mereka itu akan bahagiannya sehinggakan tiap-tiap yang hadir itu menyangka tiada orang yang lebih pemurah daripadanya. Siapa-siapa yang datang mengadap baginda dalam satu-satu majlis, baginda melayaninya sehingga orang itu meminta diri lebih dahulu. Kalau ada sesiapa yang datang meminta sesuatu daripadanya tidak sekali-kali baginda menghampakannya sama ada diberinya apa-apa yang diminta itu atau jika tak ada padanya baginda menyukakan hatinya dengan kata-kata yang baik dan lemah-lembut. Kemurahan hatinya dan baik tingkahlakunya adalah meliputi segenap peringkat manusia. Dengan sebab itu baginda dipandang sebagai seorang bapa dan kepadanya setiap orang itu sama sahaja dalam menentukan hak dan kebenarannya. Air mukanya sentiasa senyum, senang berkira bicara, lembut tingkahlakunya, tidak mengangkat suara bila-bila bercakap, tidak celupar, tidak berleter (menyalahkan orang), tak suka memuji-muji (mengampu), apa yang baginda tak suka atau tak sesuai dengan dirinya ditinggalkannya bagitu tanpa memburuk-burukkan sesuatu. Daripada Saidatina Aisyah ra katanya, "Tidak terdapat seorang yang lebih elok tingkahlakunya daripada Rasulullah. Baginda tidak menjawab panggilan sesiapa jua daripada ahli rumahnya melainkan dengan perkataan, Labbbaik". Berkata pula Jabir bin Abdullah ra, "Semenjak aku memeluk Islam, aku tak pernah dapati Rasulullah berselindung dariku dan setiap kali ia memandang kepadaku ia tersenyum". Baginda suka berseloroh, bergurau-senda, beramah-tamah, sabar mendengar cerita-cerita mereka, mengagahagah bayi-bayi mereka dan meletakkan mereka ke atas pangkuannya. Baginda menyahut panggilan (atau hadir undangan) baik dari orang yang merdeka, hamba, jariah atau orang miskin. Baginda melawat orang-orang sakit walaupun mereka duduk di pinggir kota dan memaafkan orang yang meminta maaf. Berkata Anas yang maksudnya, "Rasulullah memendapkan telinganya mendengar kalau ada orang yang berbisikkepadanya dan tidak ia mengalihkan telinganya melainkan setelah orang itu mengalihkan kepalanya dahulu dan bila tangannya dipegang oleh sesiapa tidak ia menariknya melainkan setelah orang itu melepaskannya dahulu. Baginda memulakan salam kepada sesiapa yang ia jumpai dan bila berjumpa dengan sahabat-sahabatnya baginda dahulu yang mula bersalam dengan mereka. Baginda tidak pernah sekali-kali kelihatan menghulurkan kakinya di hadapan sahabat-sahabatnya sehingga menyempitkan yang hadir. Sesiapa yang mengadapnya baginda permuliakannya. Kadang-kadang dihamparkan kainnya supaya orang itu duduk di atasnya atau memberikan kepadanya tempat duduknya dan menyuruh sungguh-sungguh orang itu duduk di atasnya kalau didapati orang itu keberatan duduk. Baginda suka memanggil nama sahabat-sahabatnya dengan nama kinayah (tanda mesra) dan memanggil mereka dengan nama yang mereka sukai. Dia tidak pernah memotong cakap orang hingga orang itu habis apa yang hendak dicakapkannya. Anas juga menceritakan bahawa, bila satu-satu hadiah dibawa kepada Rasulullah, baginda suruh dibawakan ke rumah si anu-si anu kerana mereka sahabat-sahabat Khatijah dan sayangkan Khatijah. Daripada Aisyah, ada riwayat yang menyatakan, "Aku tak rasa cemburu terhadap mana-mana wanita seperti cemburuku kepada Khadijah kerana namanya selalu sahaja disebut-sebut olah Rasulullah. Kalau baginda melakukan sembelihan tetap ia mengarahkan supaya dihantar ke rumah-rumah sahabat-sahabat Khadijah". Suatu masa adik atau kakaknya (Aisyah) minta izin mengadap Rasulullah lalu baginda menyambutnya kemudian datang pula seorang perempuan lain mengadapnya, baginda melayannya dengan manis muka dan bertanya khabar kepadanya. Apabila ia keluar dari majlis itu baginda lalu berkata, "Orang itu selalu datang ziarah kami semasa hayat Khadijah. Sesungguhnya mengenang budi satu bahagian daripada iman". Baginda sentiasa menyambungkan rahim kerabatnya tanpa melebihkan mereka ke atas yang lebih tinggi tarafnya dari mereka. Daripada Abi Qatadah diceritakan bahawa , bila rombongan Raja Najashi Habsyah tiba, Rasulullah sendiri bangkit melayani mereka. Sahabat-sahabatnya berkata kepada baginda, "Biarlah kami sahaja melayani mereka". Ujar baginda, "Mereka telah memberi layanan yang baik kepada sahabat-sahabat kita (yang berhijrah ke Habsyah). Seberapa boleh aku hendak membalas budi mereka". Daripada Abi Umamah katanya, suatu hari Rasulullah telah keluar kepada kami bertongkat, kami bangkit berdiri menghormati baginda. Ujar baginda, "Janganlah kamu berdiri sebagaimana kelakuan orang-orang Ajam. Mereka mengampu sesama mereka". Dan terangnya lagi, "Sesungguhnya aku seorang hamba. Aku makan sebagaimana ia makan dan aku duduk sebagaimana ia duduk". Baginda biasa menunggani keldai dan mengajak orang lain tunggang bersamanya, menziarahi orang mukmin yang sakit, duduk bersama-sama orang fakir miskin. Bila ia duduk bersama-sama sahabatnya tidak ia mengambil tempat yang khas melainkan baginda duduk dimana sahaja didapati tempat kosong. Suatu masa Rasulullah telah pergi mengerjakan haji dengan suatu kenderaan berpelanakan sehelai kain yang lusuh, harganya pun tak sampai empat dirham. Baginda manyatakan, "Wahai Tuhanku jadikanlah ibadat hajiku ini bersih dari riak dan sum'ah". Semasa pembukaan kota Mekah baginda masuk beserta bala tentera Islam dengan menundukkan kepalanya hingga kepalanya hampir-hampir menyentuh bahagian hadapan kenderaannya sebagai tanda tawaduk kepada Allah swt. Baginda tak suka banyak cakap tanpa perlu. Baginda berpaling kalau ada orang bercakap tak sopan. Ketawanya ialah senyumnya. Kata-katanya tegas. Tak lebih dan tak kurang. Ketawa sahabat-sahabat baginda semasa berada dalam majlis Rasulullah ialah senyum sahaja sebagai menghormati baginda dan mencontohi kelakuannya. Majlis yang dihadirinya ialah majlis yang penuh dengan segala tanda kebaikan. Tiada suara yang kuat dan tiada nama baik sesiapa pun yang disentuh. Bila baginda berkata-kata tunduklah sekalian yang hadir seolah-olah ada burung di atas kepala mereka. Bila baginda berjalan, tegas gerak langkahnya, dikenali dari jauh kerana sikapnya yang tak kelihatan bosan dan tidak kelihatan malas. Ibn Abi Halah telah berkata, "Diam baginda disebabkan oleh empat perkara, kerana sofat santunnya (tidak segera memarah dan tidak segera menghukum sesuatu), kerana bersikap waspada, kerana penghitungan dan kerana berfikir". Berkata Aisyah, "Jika baginda berkata sesuatu dapat dihitung kalimat-kalimat yang terbit dari mulutnya. Kalau ada orang yang menghitungnya dapat dibilang. Rasulullah suka dan banyak menggunakan bau-bauan yang harum". Sesungguhpun berbagai-bagai cabaran dihadapinya akhirnya telah diserahkan kepadanya dengan sepenuhnya penaklukan negeri berlaku satu demi satu tetapi baginda enggan menikmati kelazatannya hinggakan takala baginda wafat baju perangnya tergadai di tangan seorang Yahudi untuk menyara hidup anak isterinya. Sekian petikan Bab 1 - Bab 3 dari buku "Pekerti Muslim" yang dikarang oleh Imam Al-Ghazali Wassalam MSM Liverpool

No comments:
Post a Comment